Anak tak mahu menyusu atau mogok menyusu atau ‘nursing strike’ adalah tabiat di mana bayi tak mahu menyusu secara tiba-tiba atau mendadak. Kadang-kadang penyebabnya tidak diketahui dengan jelas, namun ia boleh disebabkan oleh beberapa perkara biasa yang menyebabkan bayi ‘merajuk’ atau tidak selesa.

Walau apa pun sebabnya, bayi yang berusia bawah 6 bulan terutamanya tidak sepatutnya dibiarkan mogok berpanjangan. Ini kerana, susu adalah sumber makanan utama yang mereka perlukan untuk tubuh.

Cuba lakukan langkah berikut untuk menamatkan ‘mogok’ bayi yang tak mahu menyusu.

 

6 Cara Mudah Dan Berkesan Pujuk Bayi Mogok Susu

Jika bayi tak mahu menyusu, cuba periksa dan lakukan 6 langkah ini.

  1. Periksa hidung bayi

Cuba periksa, takut-takut hidung bayi tersumbat. Kita yang dewasa pun akan berasa tak selesa untuk makan dan minum akibat hidung tersumbat.

Jika hal ini terjadi kepada bayi, ibu boleh membantu mengatasi hidungnya yang tersumbat dengan memakaikan balm khas untuk bayi yang tidak panas atau berangin atau ubat titis yang dipreskripsikan oleh doktor. Ini untuk melegakan hidung tersumbat.

  1. Kulat dalam mulut bayi

Kadangkala, kita sangkakan bekas-bekas putih akibat sisa susu dalam mulut bayi adalah normal dan tidak perlu dirisaukan. Namun sebenarnya sisa-sisa ini boleh menyebabkan jangkitan kulat sekiranya tidak dibersihkan dan berkumpul terlalu lama dalam mulut bayi.

Cara terbaik bersihkan kesan putih pada mulut bayi.

  1. Jangkitan telinga

Jangkitan telinga boleh dialami bayi sebagai salah satu kesan  daripada demam selsema. Sekiranya bayi mengalami jangkitan telinga, bayi tidak mahu menyusu kerana telinganya terasa sakit untuk menghisap sesuatu.

Jadi, ibu perlu beri perhatian dan perhatikan isyaratnya sekiranya bayi terlihat asyik memegang dan menarik-narik telinga. Bawa ke doktor segera jika keadaan berlarutan.

  1. Rasa Susu Berubah

Sesetengah bayi amat sensitif apabila ibu menyusu memakan sesuatu makanan yang menjejaskan rasa susu badan. Antara makanan yang biasanya menjadi punca bayi tidak selesa adalah kopi, rempah tertentu dalam makanan.

Ibu-ibu harus berhati-hati jika anak sensitif seperti ini dan jangan ulangi memakannya pada masa akan datang sepanjang menyusu.

  1. Bayi tak selesa sebab tumbuh gigi

Bayi yang sedang tumbuh gigi biasanya merasa nyeri pada gusinya dan kadangkala ia turut disertai demam. Dalam fasa ini, bayi selalu merengek dan berkelakuan serba tak kena.

Cuba berikan bayi sesuatu yang selesa untuk digigit seperti ‘teether’dan buah-buahan sejuk. Di samping itu, bayi memerlukan banyak sokongan dan pelukan untuk membantunya menghadapi fasa ini.

Tips hadapi bayi meragam semasa nak tumbuh gigi.

  1. Suasana baru

Semasa baru diperkenalkan kepada puting tiruan atau botol susu, bayi mungkin akan berasa susah untuk minum susu seperti selalu. Mereka juga mungkin belum biasa terhadap rasa susu perahan atau stok susu simpanan yang dipanaskan semula.

Selain itu, ada bayi yang sensitif terhadap persekitaran baru dan memerlukan waktu untuk beradaptasi. Jika mereka baru bertukar katil, tidak dapat tidur dalam buaian kegemaran mereka, cubalah dakap dan tenangkan mereka sebelum memberi susu.

  7. Bayi merajuk selepas ditinggalkan

Ada kes bayi merajuk dan tidak mahu menyusu apabila ibu meninggalkannya sementara dalam jagaan orang lain seperti nenek, saudara atau pengasuh atas urusan tertentu seperti pekerjaan dan sebagainya. Apabila ingin memberi susu, bayi menolak. Itu tanda dia mahu ibu pujuk terlebih dahulu. Usah memaksa. Tenang dan bermain dahulu kemudian cuba lagi atau apabila dah pulih, bayi dengan sendirinya mahu menyusu.

Enjoy motherhood journey mommies!