Tak best juga kan kalau anak asyik nak menempek dengan kita. Ke mana-mana pun mahu melekat aje. Nak masak pun susah apatah lagi nak buat kerja-kerja lain atau tinggalkan mereka sementara waktu sekiranya ada sebarang urusan di luar . Dengan ayahnya juga tak mahu. Nak ibu je !

Apa nak buat ya ibu-ibu ? Mungkin 6 tips di bawah ini boleh bantu ibu dan anak ibu selesaikan masalah ini.

6 Tips Tenangkan Bayi Yang Tak Boleh Berenggang Dengan Ibu

  1. Beritahu anak

Anak yang susah untuk ditinggalkan ni sebenarnya petanda baik. Ini bukti ikatan kasih sayang yang kukuh anak dan ibu. Namun begitu, kadang-kadang kita tidak boleh ada bersamanya setiap masa. Bila mahu ditinggalkan, beritahu dia bila kita akan kembali. Walaupun pada bayi, kita perlu cuba memberitahunya bahawa kita akan tinggalkannya sebentar.

Jangan sekali-kali tinggalkanya senyap-senyap. Bila dia tahu kita sudah hilang, lebih susah jadinya. Bayi akan lebih susah untuk berenggang dengan kita, takut kita tiba-tiba hilang. Dia fobia!

 

  1. Usah berlengah ucap selamat tinggal

Ucapkan selamat tinggal dengan senyuman  secara singkat. Jika kita buat muka risau, anak pun tidak rela ditinggalkan.

Dah jadi ‘kelemahan’ ibu adalah apabila mendengar anak menangis. Cuba konsisten dan jangan selalu menjenguk anak semasa ditinggalkan dengan suami. Ini akan menyebabkan anak lebih susah untuk berenggang dan berharap untuk kita ni berada bersamanya setiap masa.

 

  1. Latih anak bermain sendiri dari awal

Ibu-ibu boleh latih anak untuk berpisah di rumah. Bila kita hendak ke dapur, beritahu anak kemana kita akan pergi dan bila kembali. Bila dia sudah boleh merangkak, biarkan dia untuk ke bilik kosong sendiri. Pastikan bilik tersebut selamat. Nak solat pun boleh juga berbuat demikian.

Hal ini akan buatkan anak faham yang dia masih selamat walaupun berseorangan untuk seketika. Kita juga boleh menjemput si pengasuh ke rumah untuk bermain dengannya dan berlatih dari rumah. Tinggalkan anak sekejap dengan pengasuh supaya dia faham yang dia akan tetap selamat dan gembira bermain dengan pengasuh.

 

  1. Tunggu waktu yang tepat

Anak akan lebih mudah mengamuk apabila lapar atau mengantuk. Tetapkan waktu yang paling sesuai untuk anak apabila hendak meninggalkannya.

Jadualkan supaya anak  dihantar setelah makan atau setelah bangun dari tidur. Dengan ini, anak akan lebih tenang menerima yang ibu akan pergi sementara.

 

  1. Mesti tepati janji

Bila kita sudah berjanji dengan anak bila mahu pulang, tepati waktu. Jangan biarkan dia resah menunggu lama. Jangan berbohong pada anak jika mahu pulang lewat. Buat anak yakin pada kita.

Bila kita jujur padanya, dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengharungi waktu tanpa kita.

 

  1. Biasakan terlebih dahulu anak dengan tempat yang ingin ditinggalkan

Bila kita bercadang untuk tinggalkan anak di rumah pengasuh, bawa anak bersama untuk menjenguk rumah itu. Jelaskan pada anak tujuan kita ke sini dan kita akan tinggalkan dia di sini buat sementara. Kenalkan anak kepada pengasuh supaya dia takkan berasa janggal apabila ditinggalkan.

Ajak dia bermain dengan pengasuh dan kanak-kanak lain di sana. Apabila anak sudah boleh terima persekitaran dan orang-orang sekeliling, dia akan lebih mudah untuk dipisahkan nanti.

 

Selalu ingatkan anak bahawa kita sentiasa sayangkan dia dan kita selalu bersamanya di dalam hatinya. Sentiasa berbual dengan anak supaya dia lebih mudah untuk menerima perubahan dalam hidupnya. Kesukaran untuk berpisah pada mulanya adalah perkara biasa. Jika perlukan bantuan, minta sokongan suami dan keluarga terdekat.