11 Tip Berguna Elak Ibu Bapa Terlalu Stress Sepanjang Pandemik Covid-19

11 Tip Berguna Elak Ibu Bapa Terlalu Stress Sepanjang Pandemik Covid-19 | Bermula PKP 1 dan kini PKP 2 yang sudah beberapa siri hampir setahun negara berhadapan dengan pandemik ini, pastinya bukan mudah untuk dilalui semua orang. Masing-masing ada cabaran tersendiri termasuklah ibu bapa.

Mommy berkesempatan menelaah beberapa tulisan dari teman-teman ibu yang hebat-hebat semuanya, Alhamdulillah. Rasa syukur sangat dapat berkawan dengan ibu-ibu yang hebat kan?

Artikel kali ini, Mommy tulis kongsi di blog ini untuk rujukan, muhasabah dan tambah baik urusan seharian Mommy sendiri sebab Mommy yakin baik sebagai ibu, ayah kita mesti ada ilmu untuk uruskan kehidupan keluarga dengan lebih baik tanpa terlalu tertekan dengan keadaan semasa.

Sumber tulisan asal ini ialah dari sahabat Mommy, Zatil Arip (boleh tengok dan follow akaun muka buku beliau ye). Banyak ibrah yang boleh diambil dari kisah-kisah yang beliau tulis.

Jom cari tahu macam mana nak kurangkan stres dengan anak-anak . Bismillah.

Sebahagian tips yang dikongsikan ini ialah dari buku Psikologi Si Kecil tulisan Dr. Rozanizam Zakaria.

Psikologi Si Kecil Dr Rozanizam Zakaria
Boleh beli buku ni ya mommies. Kat Shopee pun ada. Hehe.

Tekanan emosi dan perasaan dalam mendidik anak adalah sebahagian dari pakej yang datang bersama status seorang ibu atau bapa. Mari bersikap jujur dengan diri sendiri. Kita bukan Superhero! Bukan Supermom!

 

Menguruskan urusan diri sendiri, keluarga, kerjaya dan anak-anak dalam masa yang sama adalah sumber tekanan yang datang hampir setiap hari. Kalau tidak betul gaya menguruskan tekanan ini, kita mungkin akan tersilap langkah.

 

11 Tip Berguna Elak Ibu Bapa Terlalu Stress Sepanjang Pandemik Covid-19 :

1# Tangguhkan reaksi anda.

Tidak kira seteruk mana pun masalah yang ditimbulkan oleh anak anda, jangan terus bertindak. Tindakan serta merta anda, selalunya didorong oleh emosi. Jadi, fikir dengan otak rasional, bukan otak emosi. Kemudian baru tentukan tindakan anda dalam situasi tersebut.

2# Belajar teknik relaksasi

Cuba teknik pernafasan dalam (deep breathing technique – sedut-tahan-hembus dengan kiraan dan kitaran yang teratur).

Teknik distraction (alihkan seketika perhatian kepada hal-hal yang lain) juga cukup berkesan dengan syarat ianya di lakukan dengan betul dan konsisten.

3# Perbetulkan fokus anda

Kita mudah terkesan dengan perkara yang kecil dan remeh seperti anak tumpahkan air, anak hilang jadual, anak berebut remote televisyen sehingga kita lupa fokus yang lebih besar.

Fikirkan apa yang anda ingin capai dalam situasi itu. Tugas anda mendidik dan bukan mengherdik. Ada masa diam dan tunjuk cara penyelesaian lebih berkesan dari membebel berjam sambil menyumpah seranah. Emosi kita dan anak juga pasti bertambah parah.

4# Fikir panjang

Orang putih kata, begin with the end in mind. Bila ingin berbuat sesuatu kepada anak atau diri sendiri, fikirkan apakah kesan jangka masa panjang tindakan kita. Kita mungkin puas hati seketika dapat lepas geram dengan memukul anak, tapi kesannya pada anak mungkin sampai bila-bila.

5# Cari hujung minggu untuk anda

Anda juga perlu ‘cuti rehat’ dari menjadi ibu bapa. Bila kali terakhir anda bercuti berdua dengan pasangan?
Kalau rumahtangga dan anak-anak kelam kabut tak tahu punca, mungkin sebenarnya ia signal minta anda mohon cuti. Ganjari diri anda dengan percutian seketika.

Di musim pandemik yang mungkin tidak mengizinkan kita ke mana-mana, cuba alihkan fokus seketika atau satu hari untuk lebih santai, buat aktiviti yang menyeronokkan. Abaikan rumah sepah, dapur tak terurus, order makanan dari luar pun boleh. Tenang! Kita perlu waktu untuk ‘recharge’ semula supaya tak terlalu tertekan.

6# Cari hobi atau aktiviti sosial

Cari semula minat yang anda telah tinggalkan dek kesibukan menjadi ibu bapa. Jangan pencen awal dari main bola, berkebun, bertukang, membakar kek, menjahit manik, melukis, atau apa juga hobi yang membantu anda rehat dan rawat enjin anda.

7# Urus masa

Bangun lambat, kerja tak siap, anak lewat ke sekolah atau kelas online lambat, kerja sekolah anak tak siap. Fuh !

Bangun lambat ialah bahan asas yang cukup sempurna untuk memulakan hari dengan keadaan tertekan. Jadi, apa nak buat ?

  • Susun semula prioriti kehidupan.
  • Senaraikan apa yang perlu di buat sekarang, kemudian dan akan datang mengikut ketetapan yang realistik.
  • Kaji penggunaan masa anda. Buang tabiat membuang masa.
  • Buat jadual harian yang efektif.
cara menangani stres
Contoh jadual. Jika sebagai Muslim, boleh masukkan aktiviti harian berdasarkan 5 waktu solat. Usah terlalu idealistik, fleksibel dengan masa lebih baik. Kita buat yang mana kita mampu dan elak tertekan bila tak dapat capai target harian.

8# Cari kawan yang baik dan mampu berkongsi atau minta pendapat

Jangan ingat berkawan maksudnya ‘tak ingat anak bini atau suami’. Kawan ada ruang khas dalam hidup. Ia membantu menampung kelompongan yang ada dalam jiwa. Usah duduk dalam gua dan berharap kita akan hidup gembira.

9# Berkongsi

Setiap ibu bapa ada pengalaman tersendiri. Kongsi masalah anda, kongsi kejayaan anda. Belajar antara satu sama lain untuk membantu membesarkan lensa kita dalam melihat cabaran mendidik anak-anak.

10# Ubah cara fikir

Cara fikir kita menentukan emosi dan reaksi kita. Kalau kita rigid dan negatif dalam berfikir, emosi dan tindakan yang datang juga akan negatif.

Tukar “kenapalah anak aku ni tak faham-faham!” kepada “adalah tu yang tak kena, mungkin dia penat agaknya”. Emosi dan tindakan kita akan berbeza.

11# Jangan lupa Allah

Anak adalah amanah Allah. Allah jualah yang menjadi sumber kekuatan kita semua. Lebih dekat dengan pencipta, lebih dekat yang dicipta pada kita.

tip elak stres dengan anak
Ketika mereka belum ada, kita mohon mereka hadir. Ketika mereka semakin membesar, kita cenderung tertekan dalam mendidik. Hamba bersyukurkah begitu ?

 

Kesimpulannya, untuk menjadi ibu ayah yang baik bukanlah mudah. Pasti ada cabaran di sana sini. Moga Allah memberi kekuatan kepada ibu ayah semua dalam mendidik generasi.

Enjoy parenthood life !

mommyluv

We never know the love of a parent till we become parents ourselves.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge
error: Please share this article. Tq