Anak yang mengidap G6PD seharusnya diberi perhatian dengan teliti untuk mengelakkan sebarang keadaan yang tidak diingini boleh berlaku.

Apa itu G6PD?

G6PD ialah singkatan nama enzim Glucose-6-Phosphate Dehydrogenase, yang terdapat di dalam sel darah merah. Ia bertindak dalam melindungi sel darah merah daripada pecah (hemolisis) bila terdedah kepada ubat-ubat tertentu, makanan atau jangkitan.

 

Kekurangan enzim G6PD sangat ketara di kalangan masyarakat Asia. Di negara kita, semua bayi baru lahir akan disaring untuk kekurangan enzim G6PD dengan menggunakan darah daripada tali pusat. Kekurangan enzim ini adalah keadaan yang diwarisi melalui keturunan. Ia ditentukan oleh bahan baka yang dibawa oleh kromosom X. Oleh itu kebanyakan mereka yang mempunyai kekurangan enzim G6PD adalah kaum lelaki, manakala kaum perempuan biasanya adalah pembawa.

 

Ujian untuk mengesan kehadiran enzim ini adalah ujian darah yang mudah dilakukan. Pastikan anda tahu status enzim anda dan keluarga anda.

 

Gejala dan tanda-tanda

Kebanyakan mereka yang kekurangan enzim G6PD ini tidak mempunyai tanda-tanda khusus. Bayi baru lahir perlu diperhatikan di dalam wad untuk suatu jangka masa kerana mereka boleh mendapat penyakit kuning (jaundis) yang tinggi dengan cepat, akibat daripada hemolisis berlebihan. Bayi yang kuning (jaundice) perlu diletakkan di bawah lampu (fototerapi) untuk menurunkan tahap bilirubin dalam darah.

 

Tanda-tanda yang terjadi sekiranya sel darah merah pecah (hemolisis) termasuk : (akibat daripada kekurangan darah)

  • kelihatan pucat
  • tidak bermaya (atau keletihan yang teramat
  • pening
  • degupan jantung yang laju
  • sukar bernafas
  • sakit dada

 

Akibat daripada hemolisis :

  • jaundis (kekuningan) boleh dilihat pada mata putih atau kulit, warna air kencing seperti air teh O atau Coca-Cola.

 

Kekurangan enzim G6PD adalah untuk seumur hidup. Walaupun tiada rawatan yang boleh menghilangkannya, ia tidak membawa kesan negatif yang ketara dan tidak menjejaskan perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak.

Pantang larang jika anak kekurangan enzim G6PD

Merujuk kepada portal MyHealth,berikut adalah senarai lengkap bagi bahan yang perlu di’pantang’ oleh pesakit G6PD.

Makanan dan herba yang perlu dielakkan

  • Kacang parang (fava beans)
  • Ubat Cina seperti Chuen Lin, San Chi, 13 herbs dan 12 Herbs
  • Ubat tradisional lain

Ubat yang mesti dielakkan

G6PD
  • Furazolidene
  • Methylene Blue
  • Nalidixic acid
  • Niridazole
  • Nitrofurantoin
  • Phenozopyridine
  • Primaquine
  • Sulfamethoxazole
  • Acetanilide
  • Doxorubicin
  • Bactrim

Ubat yang boleh diberi dalam dos terapeutik

  • Paracetamol
  • Ascorbic acid
  • Aspirin
  • Chloramphenicol
  • Chloroquine
  • Colchicine
  • Diphenhydramine
  • Isoniazid
  • Phenacetin
  • Phenylbutazone
  • Phenytoin
  • Probenecid
  • Procainamide
  • Pyrimethamine
  • Quinidine
  • Streptomycin
  • Sulfisoxazole
  • Trimethoprim
  • Tripelennamine
  • Vitamin K
  • Mefloquine

 

Selain itu, kanak-kanak yang mengalami kekurangan enzim ini juga perlu menghindari bahan-bahan seperti:

  • ubat gegat
  • penyembur serangga
  • nila
  • ubat nyamuk jenis lingkaran
  • bau cat

 

Makanan pula, disarankan untuk mengelak daripada makan makanan yang berasakan kacang seperti kacang parang dan kacang soya, buah-buahan masam seperi limau dan nenas, makanan yang menggunakan pewarna tiruan.

Langkah keselamatan

Cara terbaik adalah dengan melindungi anak anda daripada pencetus yang boleh menyebabkan timbulnya simptom yang tidak diingini.

Selain itu, apa yang anda perlu lakukan adalah:

  • Peka terhadap makanan dan ubat yang mengandungi bahan pencetus / oksidatif.
  • Simpan senarai pencetus di rumah anda atau di tempat yang mudah diakses.
  • Buat beberapa salinan untuk diberi kepada orang lain seperti saudara terdekat, penjaga, pengasuh, atau guru apabila perlu.
  • Sentiasa periksa kandungan pada makanan, minuman dan ubat dengan menyemak labelnya.

Dengan maklumat serta saluran perubatan yang semakin banyak dewasa ini , semakin mudah bagi ibu bapa untuk mengawal penyakit yang dialami anak-anak bagi mengelakkan hal-hal ridak diingini berlaku.